KUCHING, 22 April: Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Miri yang baharu.
Beliau menggantikan Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kuching.
Majlis serah terima tugas itu diadakan di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada Isnin yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata.
Majlis itu turut menyaksikan pemakaian pangkat kepada Senior Asisten Komisioner Polis, Nor Omar Sappi yang disusuli dengan terima dan serah tugas jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam daripada Superitendan Samima Mustapha.
Sehubungan itu, Mancha mengucapkan tahniah kepada pegawai kanan polis atas kenaikan pangkat dan pelantikan sebagai Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah.
“Diharapkan dengan kenaikan pangkat dan amanah baharu ini semua pegawai dapat terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, profesionalisme dan dedikasi demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa barisan kepimpinan yang baharu ini akan dapat menggalas cabaran tugas dengan cemerlang, seiring dengan aspirasi Polis Diraja Malaysia dalam memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis. – TVS