Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mohd Fakhrulrazi Wahab,44, ketika ditemui di Emart Hotel Riam, hari ini. Foto Ahnaf Tuah (TVS)

Dari Miri ke Bario: Kisah kayuhan penuh cabaran dan pengajaran

ByVanessa Enjop

MIRI, 22 April: Perjalanan sejauh lebih 300 kilometer dari Miri ke Bario bukanlah satu pengembaraan biasa. Ia merupakan misi fizikal dan mental yang menguji daya tahan dan semangat seorang pengayuh basikal jarak jauh, Mohd Fakhrulrazi Wahab berusia 44 tahun.

Berbekalkan semangat dan persiapan rapi selama empat bulan, anak kelahiran Perak itu berjaya menamatkan kayuhan ekstrem selama enam hari merentasi laluan paling mencabar di Malaysia, termasuk laluan lori balak dan kawasan hutan terpencil tanpa liputan rangkaian telekomunikasi.

“Bario ini saya anggap sebagai cabaran baharu. Ia bukan lagi sekadar hobi, tetapi satu gaya hidup saya. Laluan ini antara yang paling ekstrem kerana bukan semua kenderaan boleh melaluinya. Saya tahu, saya akan hadapi cabaran yang saya tak pernah tempuh sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Emart Hotel Riam, di sini, hari ini.

Bermula dari Lapok, beliau dan dua lagi rakan kayuhan meneruskan perjalanan masuk ke laluan off-road ke Bario. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah cuaca panas, laluan berlumpur, hujan lebat, dan kerosakan basikal yang memerlukan pembaikan dalam keadaan gelap menggunakan lampu suluh.

Lebih mengharukan, beliau terpaksa menolak basikal menaiki cerun tajam dengan muatan berat, malah pernah tidur seketika di dalam hutan beralaskan batu kerana terlalu letih.

“Waktu itu saya terpaksa turunkan ego. Cabaran bukan saja fizikal, tetapi mental juga. Saya belajar untuk mengenal diri, belajar mengatasi masalah, belajar untuk rendah hati,” ujarnya.

Pada hari ketiga, cabaran berganda apabila salah seorang rakannya mengalami kerosakan basikal yang tidak dapat dibaiki. Beliau mengakui berasa terkesan kerana tidak mampu membantu, namun tetap meneruskan kayuhan bersama seorang lagi rakan, Ling Ka Yew.

Bermula saat itu, Fakhrulrazi sedar bahawa gabungan kepakaran dan pengalaman adalah formula penting untuk menamatkan kayuhan dengan berjaya.

“Saya ada kepakaran, Ka Yew ada pengalaman. Saya sedar tanpa pengalaman, kepakaran sahaja tak cukup. Jadi kami gabungkan dua elemen ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, mereka turut mendapat sokongan komuniti tempatan termasuk pasukan 4×4 Highlander Sarawak yang memantau pergerakan mereka setiap hari bagi memastikan keselamatan.

Fakhrulrazi juga sempat berkongsi keterujaan dengan keramahan masyarakat setempat sepanjang laluan tersebut yang begitu menghormati kepercayaan dan keperluan beliau sebagai seorang muslim.

“Saya terkejut, mereka tunjukkan dahulu bahan masakan sebelum dimasak. Layanan sangat baik walaupun berbeza agama dan budaya. Ini satu pengalaman yang menyentuh hati saya,” katanya.

Perjalanan ke Bario bukan sahaja memperkayakan pengalaman berbasikalnya, tetapi juga mengajarnya erti persahabatan, kepercayaan diri, dan hubungan erat antara manusia dan alam semula jadi.

Kini, beliau berharap kisah ini mampu memberi inspirasi kepada generasi muda untuk keluar daripada zon selesa, meneroka potensi diri, dan menghargai kekayaan budaya serta keindahan Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan