GEORGE TOWN, 22 April: Seorang pekerja penyelenggaraan penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencuri beg seorang wanita yang mengandungi pelbagai barang pada Khamis lalu.
Tertuduh, A. Thines, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri beg jenama Longchamp yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah iPhone 7, pasport dan kad kredit milik seorang wanita Indonesia.
Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan ketakutan bahawa kecederaan serta-merta ke atas mangsa boleh berlaku.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Kuala Kangsar di sini kira-kira pukul 4.50 petang pada 17 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nurul Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan jaminan kerana kes itu, ujarnya, merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Namun, ujarnya, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon ikat jamin yang tinggi dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Tertuduh sedang berdepan perbicaraan kes curi lain di Mahkamah Majistret Balik Pulau dan dibenarkan ikat jamin.
“Mahkamah perlu mengambil kira corak kejadian curi yang dilakukan tertuduh biarpun dia sedang dibicarakan bagi kes lain.
“Kes itu juga mendapat perhatian awam apabila rakaman video kejadian tertuduh meragut mangsa tular di media sosial,” katanya pada prosiding itu.
Sementara itu, Puteri Nurul Nadia turut memohon syarat tambahan agar tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia yang berpendapatan RM1,600 sebulan perlu menjaga isteri yang sedang hamil lapan bulan anak pertama mereka.
Hakim membenarkan dia diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin di samping syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 28 Mei depan bagi lantikan peguam. – TVS.