KUCHING, 21 April: Membantu serta memperkasa kehidupan golongan asnaf dan kurang berkemampuan di wilayah ini, merupakan antara misi utama yang akan terus diperjuangkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, bagi memastikan nasib warga yang memerlukan di wilayah ini, TBS berazam untuk mengutip RM150.02 juta wang zakat menjelang penghujung tahun 2025 ini.
“Dalam suku pertama tahun ini, kita telah mengutip sejumlah RM38.5 juta dan kita telah agihkan sejumlah RM36.45 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Bertemu Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak di sini, hari ini.
Pada tahun 2024, Tabung Baitulmal Sarawak berjaya mengutip zakat sebanyak RM143.54 juta dan sejumlah RM112 juta telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Seramai lebih 5,000 orang menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak, di sini, hari ini.-TVS