JOHOR BAHRU, 21 April: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyelaras pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) di sekolah-sekolah seluruh negara, bermula bulan depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kempen ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar dan guru berkaitan keselamatan dalam talian serta langkah-langkah melindungi diri daripada ancaman siber yang semakin membimbangkan.
Menerusi kempen berkenaan katanya,SKMM akan menghantar pengurus-pengurus ke sekolah untuk mengadakan sesi taklimat dan latihan berkaitan keselamatan digital.
“Program ini diharapkan dapat memperkasakan pelajar dan guru dengan pengetahuan yang lebih mendalam tentang risiko siber serta cara untuk menghadapinya dengan berkesan.
“(Kita juga mahu0 meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan keselamatan anak anak ketika online,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Balai Raya Taman Sri Skudai, di sini pada Isnin.
Tambah beliau, kempen berkenaan juga merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan dalam memastikan masyarakat celik digital dan mampu menghadapi cabaran era teknologi.
“Pendekatan mendekati sekolah adalah langkah proaktif kerana pelajar merupakan golongan yang paling terdedah kepada risiko keselamatan siber,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan bahawa kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diperkukuhkan untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai kesan yang diinginkan.
“Saya juga ingin menyeru ibu bapa agar memainkan peranan dalam memantau penggunaan internet anak-anak mereka di rumah
“Pelaksanaan KIS ini dilihat selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keselamatan digital, seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya. -TVS.