KUCHING, 21 Apr: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia 2026 pada Ogos tahun depan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kongres tersebut amat penting untuk merapatkan jurang pengetahuan serta melatih lebih ramai penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).
Pada masa sama menurutnya, ia juga membantu meningkatkan kesedaran yang mana kesihatan pekerjaan bukan terhad kepada industri besar tetapi melibatkan setiap tempat kerja.
“Kita perlu mengejar banyak perkara termasuk kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan menyesuaikan pendekatan terhadap isu semasa melibatkan kesihatan mental yang kini menjadi isu utama di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia 2026 di Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.
Dr Sim menjelaskan, kongres tersebut bukan sahaja membantu membina keupayaan tempatan malah membuka ruang pertukaran ilmu secara menyeluruh, mrentas budaya dan sempadan negara.
Tambahnya, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia pada 1997 di Kuala Lumpur.
Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia 2026 berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan bakal dihadiri 2,000 peserta.-TVS