KUALA LUMPUR, 21 Apr: Usianya baru 10 tahun, tetapi semangat dan keyakinannya jauh melangkaui angka itu.
Memetik laporan Suara Sarawak, Aaisyah Batrisya, si cilik berbakat dari Sarawak kini melakar satu lagi pencapaian luar biasa apabila dinobatkan sebagai Duta Pelancongan Junior Dunia Malaysia 2025 dalam kategori Crown Princess.
Berlangsung di Envy Skydining, Menara TA One, Kuala Lumpur, Aaisyah melangkah megah menerima mahkota dan selempangnya dalam majlis penuh warna-warni anjuran Double Event Management.
Malah pencapaian itu disifatkan sebagai permulaan perjalanan Aaisyah sebagai wajah muda Malaysia di pentas dunia.
Tidak asing dalam dunia pertandingan ratu, Aaisyah sebelum ini mengejutkan ramai apabila menjuarai Mini Miss Global 2024 sekali gus mencipta sejarah sebagai anak Malaysia pertama yang membawa pulang gelaran itu.
Kini, cabaran baharu menantinya dengan membawa nama Malaysia lebih tinggi di World Junior Tourism Ambassador (WJTA) 2025 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 28 Jun depan di Kuala Lumpur.
WJTA bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi medan untuk membentuk pemimpin muda, memupuk cinta terhadap budaya dan pelancongan, serta menyebarkan nilai-nilai positif kepada dunia.
Bagi Aaisyah, ini lebih daripada sekadar mahkota bahkan peluang untuk memperkenalkan kecantikan dan keunikan Malaysia di mata dunia.
“Saya rasa sangat terharu dengan segala sokongan, doakan saya dapat buat yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Di balik persiapan rapi ini, Aaisyah dilatih oleh Viviana Lin Winston dan Mak Ratu, manakala penampilan eksklusifnya diserlahkan oleh Mak Ratu sendiri.
Dengan semangat membara dan keazaman yang tinggi, Aaisyah Batrisya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk bermimpi besar dan menggapai bintang.-TVS