SKUDAI, 21 April: Projek pembangunan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang sedang dilaksanakan kerajaan di Sarawak dan Sabah hampir siap, kata Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, setakat ini Sarawak mencatatkan operasi Pusat NADI paling banyak iaitu mencecah 178 buah.
Perkara itu kata beliau menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperluaskan akses maklumat kepada rakyat di kedua – dua wilayah itu terutamanya di pedalaman.
“Perkembangan (projek pembinaan Pusat NADI tambahan di Sabah dan Sarawak) sangat baik, saya rasa dalam (tempoh) beberapa bulan ini akan siap semua.
“(Namun) isu kita (di Sarawak) adalah kebiasaannya (satu kawasan) Dewan Undangan Negeri (DUN) besar, jadi kita nak pastikan ada perancangan tambahan sama ada untuk menambah jumlah Pusat NADI atau membawa program ini keluar dari program komuniti dengan bantuan internet satelit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat NADI Balai Raya Taman Sri Skudai di sini hari ini.
Tambah Fahmi, sebanyak 16 peratus keseluruhan Pusat NADI kini beroperasi di Sarawak berikutan faktor geografi wilayah berkenaan.
Mengenai peranan Pusat NADI, Fahmi berkata ia memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat sahih dan terkini dapat disampaikan kepada rakyat dengan pantas dan berkesan.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawk,” katanya. – TVS.