KUCHING, 21 April: Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk menghidupkan semula inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pemeliharaan kawasan bersejarah dan warisan budaya di Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, program tersebut yang bertujuan untuk memulihara dan mengembangkan kawasan bersejarah di bandar ini akan diaktifkan semula dengan tumpuan khusus kepada Rumah Batu di Masjid Bahagian Kuching yang kini sedang melalui proses pemulihan.
“Baru-baru ini saya dijemput oleh waris Rumah Batu dan mereka nak serahkan kepada amanah wakaf dan kalau ia berlaku insya-Allah dapat juga kita mencantikkan kawasan Masjid Bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, pembangunan kawasan tersebut juga akan melengkapkan pembangunan di kawasan Padang Pasir yang bakal dibangunkan stesen utama bagi Sistem Aliran Transit Autonomi (ART) kelak.
Selain itu, Abang Johari turut memaklumkan beberapa projek pembangunan infrastruktur sedang giat dijalankan Kerajaan Sarawak termasuk pembinaan Jambatan Bintangor yang dijangka siap pada April ini serta pembangunan sambungan tebingan Kuching dari Jambatan Bitangor ke Jambatan Satok yang berpotensi menjadi tebingan terpanjang di negara ini. – TVS