MIRI, 21 April: Projek MyGENOM bukan sekadar inisiatif penyelidikan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik jangka panjang negara dalam memperkasa sistem kesihatan yang lebih tepat dan berkesan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Nor Fariza Ngah, berkata projek berkenaan bertujuan memastikan rakyat menerima rawatan sejajar dengan ciri genetik dan keperluan kesihatan individu.
“Bagi Zon Sarawak, pengambilan peserta bagi tahun 2025 telah bermula di Hospital Miri melalui kerjasama dengan Jabatan Perubatan Transfusi dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) hospital terbabit.
“Pengambilan akan diteruskan di Hospital Lawas, Hospital Umum Sarawak, Hospital Bintulu, Hospital Mukah dan Hospital Sibu dengan sokongan Jabatan Perubatan Transfusi atau Unit Tabung Darah serta CRC masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pengumpulan Data Penyelidikan MyGENOM Zon Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Nor Fariza berkata, pelaksanaan projek di zon berkenaan akan ditutup semula di Hospital Umum Sarawak sebagai lokasi terakhir.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan dapatan kajian mencerminkan kepelbagaian genetik rakyat Malaysia, sekali gus memperhalusi strategi rawatan kesihatan untuk semua lapisan masyarakat.
“MyGENOM turut memberi keutamaan kepada penyertaan daripada kumpulan etnik yang kurang diwakili dalam penyelidikan seperti masyarakat Bumiputera Sarawak, Sabah dan Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata, strategi pengambilan peserta di Sarawak tidak terhad kepada pelawat hospital atau penderma darah di fasiliti kesihatan, sebaliknya turut dilaksanakan melalui program derma darah luar atau mobile blood donation drives.
“Pendekatan ini membolehkan capaian lebih meluas, terutama di kawasan luar bandar dan terpencil,” katanya.