BINTANGOR, 21 April: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandunya terbabas dan terbalik dalam satu kemalangan kendiri di Batu 11, Jalan KJD Julau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terlibat dalam kemalangan kendiri dengan dua mangsa di dalamnya.
“Pemandu didapati tersepit dan tidak sedarkan diri. Operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dikeluarkan oleh pasukan penyelamat, oleh petugas kesihatan yang berada di lokasi.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang lagi lelaki yang merupakan penumpang hadapan turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Julau untuk mendapatkan rawatan. -TVS