KUCHING, 21 Apr: Mengakhiri saingan Liga Super 2024/2025 di tangga keempat boleh dianggap sebagai pencapaian cemerlang untuk Kuching City FC (KCFC) di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
Pada awal saingan liga, skuad tersebut tidak diberikan harapan tinggi namun Aidil berjaya mengubah skrip dan menjadikan KCFC sebagai antara pencabar utama.
Memetik laporan Suara Sarawak, Aidil meluahkan rasa bangga terhadap prestasi anak buahnya dalam perlawanan terakhir musim ini menentang Negeri Sembilan FC.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain atas persembahan cukup hebat malam tadi.
“Walaupun kita kekal di tangga keempat, pemain mempamerkan profesionalisme tinggi dan berjaya mengekalkan momentum terbaik untuk menamatkan musim dengan kemenangan,” katanya.
Aidil berkata, kemenangan itu merupakan hadiah yang amat bermakna buat penyokong setia serta seluruh warga Sarawak.
KCFC menutup kempen Liga Super 2024/2025 dengan kemenangan meyakinkan selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Kemenangan itu memastikan KCFC menamatkan saingan musim ini di tangga keempat liga dengan kutipan 39 mata, hasil 10 kemenangan dan sembilan keputusan seri dalam 24 perlawanan.
Bintang import, Jordan Mintah membuktikan ketajamannya apabila menyumbat dua gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-16 dan masa tambahan minit ke-90+6.
Satu lagi jaringan dicatatkan oleh Petrus Shitembi pada minit ke-36.
Satu-satunya gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh S. Anbualagan pada minit ke-71.-TVS