KUALA TERENGGANU, 21 April:Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membantu mempromosikan Tasik Kenyir sebagai lokasi menarik sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Timbalan Menteri di KKDW Datuk Rubiah Wang berkata, usaha itu bagi meningkatkan semula kehadiran pelancong ke situ yang dikesan merosot sejak beberapa tahun lepas.
“Kita menyedari kehadiran pengunjung berkurangan sejak pandemik COVID-19 namun saya dimaklumkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sudah terdapat peningkatan sejak kebelakangan ini.
“KETENGAH juga telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair untuk memastikan Tasik Kenyir turut tersenarai dalam lokasi wajib dikunjungi dalam TMM 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Sambutan Aidilfitri di Kampung Baru Serada di sini, hari ini.
Rubiah menambah, KETENGAH juga sudah berbincang dengan Kerajaan Terengganu berhubung industri pelancongan di Tasik Kenyir.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris mendedahkan kehadiran kedatangan pengunjung ke Tasik Kenyir semakin berkurangan sejak 2020.
Beliau berkata, Tasik Kenyir mencatatkan 775,979 pengunjung pada 2018, 607,398 (2019), 208,097 (2020), 277,969 (2021), 246,896 (2022) dan 218,157Â pada 2023. -TVS.