ASAJAYA, 21 Apr: Kerajaan Sarawak mengiktiraf rakyat yang menduduki dan mengusahakan tanah menerusi inisiatif penyukatan dan pemberian geran tanah termasuk tanah hak adat Bumiputera (NCR).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, di bawah Kanun Tanah, tidak dinyatakan di bawah mana-mana seksyen bahawa individu yang menduduki tanah akan memiliki tanah tersebut namun Kerajaan Sarawak berbeza kerana mengiktiraf mereka.
“Di dalam Kanun Tanah Negara, tidak ada termaktub seksyen-seksyen yang memberi pengiktirafan kepada mereka yang menduduki tanah walaupun 100 tahun atu 200 tahun telah menduduki tanah itu, mereka masih lagi dianggap menumpang atau menceroboh tanah itu.
“Di Sarawak, dalam Kanun Tanah Sarawak, sekiranya tanah itu diusahakan oleh nenek moyang dan sebagainya sebelum tahun 1958, ada termaktub dalam Kanun Tanah Negeri Sarawak, kerajaan memberi pengiktirafan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah bagi Seksyen 18, Kampung Tradisi Moyan Laut, Asajaya pada Isnin.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak terus menghulurkan bantuan kepada rakyatnya menerusi pengecualian bayaran ke atas tanah NCR dibawah seksyen 18 sekali gus meringankan beban pemilik tanah.
Karim menjelaskan, penerima geran tanah NCR tidak sepatutnya mencagarkan tanah mereka demi untuk meminjam wang terutama institusi peminjam tidak berdaftar.
“Di dapati terdapat beberapa kes rakyat Sarawak yang kehilangan hak milik tanah setelah gagal melunaskan pinjaman mereka,” ujarnya.
Hadir sama Residen Bahagian Samarahan, Irwan Bahari Bujang, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Mohammad Zunica Mohamad Sapiee dan Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin-TVS