ASAJAYA, 21 April: Kerajaan Sarawak bercadang untuk mengambil alih tanah yang didakwa milik dua individu berbeza di Kampung Tambirat di sini bagi menamatkan pertikaian antara mereka.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan akan menjadikan kawasan itu sebagai kampung lot atau memindahkan penduduk menerusi skim pembesaran kampung, sekali gus menamatkan pertikaian.
“Kerajaan akan mengambil alih tanah tersebut dan pampasan akan dibayar kepada tuan punya tanah.
“Dari situ kita akan melalui Pejabat Tanah dan Survei yang akan membuat persempadanan baru (dan) sama ada mereka (pemilik rumah) akan dikekalkan ditempat tersebut dengan geran tanah yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran Tanah NCR di bawah Seksyen 18 kepada 57 penerima di Kampung Moyan Laut di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, isu tersebut berlaku apabila pemilik tanah asal membenarkan penduduk kampung membina penempatan ditanah miliknya dan tanah itu kemudian diwarisi oleh ahli keluarganya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menjelaskan ia melibatkan empat lot tanah dan 70 rumah serta sebuah surau.
Menurutnya, keadaan yang berlaku disebabkan sikap pemilik tanah asal yang tidak menjangka harga tanah bakal meningkat naik selaras dengan pembangunan kawasan tersebut.
Katanya, jika dahulu sebidang tanah berharga sekitar RM1,000 hingga RM2,000 namun harga tanah di kawasan itu kini melonjak antara RM100,000 hingga RM200,000.