MIRI, 21 April: Dentuman sorak pujian, laungan nyanyian rohani serta kilauan cahaya mewarnai sambutan Hari Easter menerusi Kebaktian Gabungan Paskah BEM Daerah Miri yang berlangsung penuh warna-warni dan semangat di Stadium Tertutup Miri, pada Ahad.
Lebih 5,000 umat Kristian daripada pelbagai denominasi gereja membanjiri stadium bagi menyertai acara bersejarah yang menyatukan komuniti Kristian dalam semangat iman dan perpaduan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Dalam pada itu, sesi doa khas melibatkan kedua-dua wakil rakyat tersebut telah dipimpin oleh Pastor Dr. Welly Sigo selaku Pengerusi Pengelola bersama Bishop Hwa Yung.
Penyertaan masyarakat dan gereja-gereja seluruh Miri dalam sesi tersebut mencerminkan komitmen padu terhadap perpaduan dan kesejahteraan rohani komuniti setempat.
Sambutan Easter tahun ini bukan sahaja menjadi medan peringatan rohani tetapi juga mencerminkan kekuatan kesatuan dan pengharapan yang hidup dalam kalangan masyarakat Kristian di wilayah utara Sarawak ini. – TVS