KUCHING, 21 April: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak menghargai kerjasama dan peranan rakan strategik serta rakan pintar dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di Sarawak.
Sehubungan itu, Pengarah AADK Negeri Sarawak, Abdul Hamediee ibrahim berkata Majlis Hari Terbuka AADK Negeri Sarawak merupakan ruang interaksi bersama rakan strategik dan rakan pintar untuk berkongsi cerita.
“Program seumpama ini dapat memperluas kerjasama antara AADK dan rakan strategik serta rakan pintar baharu yang akan menyumbang dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di Sarawak.
“Ia juga medan untuk berkongsi pengalaman dan maklumat di antara AADK dan rakan strategik serta rakan pintar untuk meningkatkan keberkesanan program-program pencegahan,” katanya berucap pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 organisasi termasuk Sarawak Media Group (TVS).
Sijil ini adalah penghargaan sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan dalam memastikan kejayaan pelbagai program pencegahan dan pemulihan.