BINTULU, 20 Apr: Seorang warga emas melecur di bahagian belakang badan dalam satu kebakaran rumah di Taman Medan Ginseng awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, lelaki berumur 65 tahun itu diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS JBPM dan seterusnya dihantar ke Hospital Nyabau.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur tambahan jenis separuh kekal yang bersambung dengan rumah teres jenis dua tingkat berstruktur kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jurucakap itu berkata, tiga penghuni rumah berjaya keluar semasa berlaku kebakaran.
JBPM menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 3.49 pagi dan seterusnya menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 4.30 pagi. -TVS