LAWAS, 20 Apr: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari menjadi tunjang kepada kekuatan seluruh jentera PBB termasuk di kawasan Parlimen Lawas.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata, peranan pergerakan Wanita PBB Bukit Sari amat penting dalam mengukuhkan lagi kestabilan dan kekuatan parti itu di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu beliau mahu pergerakan tersebut terus maju dengan memberikan ruang kepada generasi muda wanita Lawas terlibat sama menyumbang kepada kekuatan parti.
“Kita semua tahu sokongan paling padu sejak awal parti PBB di Lawas ini banyak digerakkan oleh kaum wanita.
“Mereka ini tidak bising-bising tetapi bergerak dengan bertemu terus kepada rakyat di akar umbi untuk menyampaikan segala dasar perjuangan parti kita,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Wanita PBB Cawangan Bukit Sari di Lawas hari ini.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Bukit Sari, Aujinajian Garip dan Exco Sayap Pemuda PBB Sarawak Steve Lius.
Menurut Henry, Pergerakan Wanita PBB Bukit Sari turut mengamalkan asas persefahaman dan semangat kerjasama tinggi dalam kalangan ahli dan membawa kepada kejayaan segala dasar serta program kerajaan.
“Ini sewajarnya dicontohi oleh lain-lain sayap pergerakan parti PBB terutama Sayap Pemuda dan Belia PBB di Lawas,” ujarnya.-TVS