KOTA SAMARAHAN, 20 Apr: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat serantau dalam bidang pendidikan dan penyelidikan perubatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ia selepas pelancaran Bengkel Kadacer UNIMAS 2025 yang menghimpunkan peserta dari Malaysia dan negara ASEAN yang mengikuti latihan kadaverik komprehensif.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, walaupun penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) semakin diterima pakai dalam semua bidang, pelaksanaan bengkel secara bersemuka akan memberikan kefahaman lebih jelas lagi kepada peserta.
“Peserta juga memperoleh pengalaman praktikal dengan peralatan canggih dan simulasi kes dunia sebenar di samping sesi mengenai teknologi implan, penyakit telinga kompleks dan inovasi pembedahan.
“Bengkel ini bukan hanya pendidikan perubatan dan penyelidikan tetapi juga mewujudkan kesedaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kadaver UNIMAS 2025 di sini, hari ini.
Menurut Dr. Sim, kursus tersebut merupakan peristiwa penting dengan kerjasama diperluaskan melibatkan rakan akademik antarabangsa dan penyelidikan tertumpu kepada telinga, hidung dan tekak.
“Secara tidak langsung, peserta dapat bertukar pengetahuan dan meningkatkan kerjasama profesional dalam kalangan pakar ENT Asia Tenggara,” ujarnya.-TVS