KOTA SAMARAHAN, 19 Apr: Belia terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang gagal melanjutkan pelajaran di universiti awam digesa memohon program Pendidikan dan Latihan Tenikal dan Vokasional (TVET).
Setiausaha Majlis Belia Malaysia (MBM), Farhan Rosli berkata, bidang kemahiran sangat diperlukan memandangkan laporan pekerjaan masa hadapan menyatakan krisis kehilangan pekerjaan yang wujud sekarang yang bakal mencecah 70 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang disebabkan kemajuan teknologi.
Menurutnya, TVET tidak sepatutnya dilihat sebagai pilihan kedua kerana ia berharga dan memberi sumbangan dalam pembangunan teknologi pembuatan negara.
“Saya pernah pergi ke Kolej Kemahiran Mara Masjid Tanah Melaka, penuntut TVET di sana berjaya menghasilkan sayap kapal terbang.
“Ini sebabnya sekarang banyak syarikat mahu industri yang mereka usahakan dimasukkan ke dalam TVET termasuk industri halal. Sekarang ini terdapat perhomonan untuk industri halal dimasukkan ke dalam TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi townhall bersama-sama 170 pelajar dari seluruh sekolah di Sarawak yang bakal menduduki SPM tahun ini dalam program Perkampungan Menara Gading Sarawak (PMG) 2025 yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Sabtu.
Menurutnya, di bawah Majlis TVET Negara, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menubuhkan MRSM khusus untuk pelajar Tahfiz TVET.
“Di samping melahirkan golongan atau kelompok muda berketrampilan dalam TVET, vokasional dan sebagainya, kerajaan juga ingin melahirkan graduan yang mempunyai pemahaman baik dalam hafazan al-Quran dan sebagainya,” ujarnya.-TVS