BELAGA, 20 April: Seorang maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Prado dinaiki jatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Jiwa Murni sebelum Punan Ba di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Lawrance Linggi berkata, mangsa yang maut dikenali Wielie Blata berusia 48 tahun beralamat di Punan Ba, Belaga.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 4.16 petang dengan menggerakkan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan konsep (SAVER). Maklumat awal yang diterima terdapat enam mangsa yang terlibat iaitu tiga lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa.
“Empat mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan di hantar ke Klinik Kesihatan Belaga, manakala seorang mangsa (perempuan dewasa) berada di luar kenderaan yang mengalami kecederaan pada kepala dan dikeluarkan daripada gaung tersebut menggunakan scoop stretcher oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak KKM Belaga untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu lelaki telah dihempap kenderaan tersebut, pasukan bomba bertindak dengan menarik kenderaan tersebut menggunakan FRV bagi mengeluarkan mangsa.
“Setelah mengalihkan kenderaan mayat mangsa dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak PDRM untuk dibawa ke Hospital Bintulu bagi tindakan selanjutnya.-TVS