Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Annuar Rapaee bersama kenamaan lain merakam gambar kenangan bersama barisan pendidik dan tetamu yang hadir. Foto TVS

Sarawak peruntuk RM3 bilion laksana inisiatif pendidikan secara menyeluruh

DARO, 20 April: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana berjumlah RM3 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan secara menyeluruh di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, peruntukan besar itu termasuk pembiayaan yuran penuh di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak serta elaun sara hidup sebanyak RM15,000 setahun bagi pelajar yang layak.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sanggup menanggung kos besar ini demi memastikan anak-anak Sarawak mendapat pendidikan terbaik, tanpa kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Raikan Lebaran Bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) di Dewan Masyarakat Daro pada Ahad.

Tambahnya, tiada lagi kekangan untuk anak-anak Sarawak meraih pendidikan dari segi kewangan kerana hanya kelayakan sahaja yang perlu dicapai untuk melayakkan mereka menyambung pengajian secara percuma.

“Saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, PIBG dan komuniti agar turut sama memainkan peranan memastikan pelajar Sarawak mencapai kelayakan akademik yang membolehkan mereka merebut peluang pendidikan percuma ini.

“Kita amat bertuah mempunyai pemimpin yang berwawasan seperti Premier Sarawak. Peluang ini tidak dijanjikan dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, tetapi diberikan kerana kesedaran pentingnya pendidikan untuk masa depan negeri kita,” ujarnya.

Annuar turut mendedahkan ketika ini lebih 5,000 pelajar menuntut di UTS, meningkat secara drastik berbanding kira-kira 1,000 pelajar sebelum ini hasil pengurangan yuran sehingga 50 peratus yang dilaksanakan, malah peningkatan ketara turut direkodkan dalam kalangan pelajar Bumiputera.

Selain itu, katanya, sistem penilaian kelayakan bantuan pendidikan di Sarawak juga lebih adil dengan mengambil kira pendapatan per kapita isi rumah berbanding pengelasan seperti B40 atau M40.

“Ini membolehkan lebih ramai keluarga dari pelbagai latar belakang mendapat manfaat seperti duit poket pelajar sebanyak RM1,200 setahun.

“Misalnya, jika pendapatan RM10,000 sebulan tetapi mempunyai 10 anak, maka per kapita adalah RM1,000, ia masih layak menerima bantuan. Ia sistem yang inklusif dan tidak diskriminatif,” jelas beliau.

Dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik, Annuar berkata kerajaan turut memperkenalkan Program Tuisyen Percuma di bawah Sarawak Educational Enhancement Programme (SEEP) yang mensasarkan pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5.

“Tuisyen diberi kepada pelajar yang memperoleh kurang daripada 40 markah dalam subjek tertentu, dengan fokus kepada pelajar luar bandar.

“Buat masa sekarang, kami sedang kenal pasti sebab ketidakhadiran pelajar ke kelas tuisyen seperti masalah pengangkutan, makanan dan lain-lain serta akan bantu apa yang perlu. Jika pelajar tak cukup makan, kita tak boleh harap mereka fokus dalam pelajaran,” tambahnya.

Turut hadir Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan