Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kota Samarahan anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Rancangan ekonomi Sarawak diiktiraf Kerajaan Persekutuan

ByAhmad Burhanuddin

KOTA SAMARAHAN, 20 April: Cadangan pembangunan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang bakal melonjakkan pertumbuhan ekonomi wilayah ini dalam tempoh akan datang mendapat sambutan positif daripada Kerajaan Persekutuan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan positif itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkunjung ke Sarawak pada Sabtu.

Malah menurutnya, Anwar turut memuji usaha Kerajaan Sarawak yang menggunakan dana sendiri dengan cekap dalam melaksanakan projek infrastruktur penting yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Apa yang berlaku sekarang, beliau (Anwar) menyatakan Kerajaan Sarawak melaksanakan projek dengan baik khususnya dalam penggunaan dana untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Perkara ini telah dipersetujui oleh beliau.

“Perkara kedua ialah pusat kanser (di Kota Samarahan) dan yang ketiga ialah beliau turut memberikan insentif kepada Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dalam usaha kita membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kota Samarahan anjuran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, di Dewan Suarah Kota Samarahan, di hari ini.

Selain itu, Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak sedang giat merancang dua projek mega yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sarawak iaitu pembinaan pelabuhan laut dalam kira-kira lapan kilometer dari persisir pantai dan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang.

“Dua projek besar ini akan memberi impak ekonomi yang signifikan khususnya kepada penduduk di Samarahan, Asajaya dan kawasan pesisir pantai,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun Kerajaan Sarawak bersedia menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek tersebut, Sarawak sendiri sudah mempunyai modal untuk melaksanakannya.

Abang Johari turut memaklumkan perancangan bagi projek mega tersebut kini berada pada fasa akhir dengan hanya sedikit lagi penyesuaian akhir diperlukan.

“Hanya ada sedikit penyesuaian bergantung kepada keadaan semasa tetapi semalam (Sabtu) saya sudah menunjukkan pelan induk di atas platform. Penyesuaian memang akan dilakukan mengikut keadaan tetapi tidak banyak kerana pelan ini merupakan pelan yang konkrit,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan