KUCHING, 20 Apr: Kerjasama strategik antara Kuching City FC dan Persatuan Bola Sepak Miri (Miri FA) dimeterai secara rasmi minggu ini menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dalam satu majlis khas di Pejabat Kuching City FC.
Menerusi perjanjian tersebut, Miri FA akan menguruskan pasukan bawah 20 tahun (U20) Kuching City FC yang beraksi dalam saingan Piala Presiden 2025 di bawah nama Kuching City FC-Miri.
Pasukan tersebut akan berpusat di Miri sepanjang musim kejohanan sekali gus memperkukuhkan kehadiran pasukan tersebut di utara Sarawak.
Majlis pemeteraian turut disaksikan oleh Pengerusi Kuching City FC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan serta dua ahli Lembaga Pengarah KCFC, Kamaludin Akil dan Zainalabidin Jali.
Miri FA pula diwakili oleh Presidennya, Mohd Saif Jubaidi bersama Timbalan Presiden, Nazri Ahmad Lai.
Kuching City dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan kerjasama tersebut menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkasa pembangunan akar umbi bola sepak di Sarawak dengan memberikan lebih banyak peluang kepada bakat muda khususnya di kawasan Miri dan sekitarnya untuk menyerlah di pentas kebangsaan.
Pasukan Kuching City FC-Miri kini dalam persiapan rapi menjelang kempen Piala Presiden 2025 dengan pemilihan pemain dan sesi latihan intensif akan dimulakan dalam masa terdekat. -TVS