KUCHING, 20 April: Jabatan Imigresen Negeri Sarawak (JIMS) telah berjaya mengesan dan menumpaskan satu kes penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Opersi Khas yang dijalankan di jeti Kampung Selampit, Lundu, semalam.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, bertindak atas maklumat Pasukan UPKP Kuching dengan kekuatan pegawai seramai lima orang dari pelbagai pangkat telah diatur gerak ke lokasi seawal jam 7.20 pagi.
“Satu pergerakan seramai lapan orang PATI telah dikesan menyeberangi Sungai Selampit dan dijemput dua buah kenderaan yang menunggu di lokasi pada jam 2.30 petang.
“Tindakan penguatkuasaan oleh pasukan Ops bermula dengan mengekori dua buah kenderaan tersebut sehingga berhenti di tempat letak kereta ‘Ming Ming Food Juction’ di Pekan Bau.Tindakan serbuan terus dibuat ke atas semua PATI dan ditahan bersama dengan pemandunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati PATI telah masuk ke negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan dan tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan yang sah.
“Difahamkan PATI ditawarkan perkhidmatan untuk dihantar ke lokasi ladang kelapa sawit di sekitar Tatau dan Sarikei dengan bayaran sebanyak RM2,300 seorang oleh ejen haram ini.
“Modus operandi yang dikenal pasti menunjukan wujudnya jaringan ejen haram yang berperanan sebagai pengangkut atau transporter bagi membawa masuk pendatang asing melalui laluan yang tidak sah,” ujarnya.
Katanya, tindakan ini dipercaya sebahagian daripada aktiviti penyeludupan manusia yang terancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengelak kawalan keselamatan di pintu rasmi negara.
“Dalam hasil operasi ini, JIMS telah menangkap dan menahan seramai lapan PATI lelaki warganegara Indonesia dan dua orang lelaki warganegara Malaysia yang bertindak sebagai transporter kepada PATI tersebut.
“Mereka yang ditahan berusia antara 40 hingga 50 tahun. Pasukan operasi turut merampas tiga telefon bimbit, sejumlah wang RM7,147 dan dua buah kenderaan turut disita untuk tujuan siasatan,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua warganegara asing yang ditangkap dalam Operasi ini ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana melanggar peruntukkan Seksyen 6(1)(c) iaitu memasuki Malaysia tanpa pas yang sah dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).-TVS