PETALING JAYA, 20 April : Pemain boling skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Ethan Damien Goh mencipta sejarah muncul pemain lelaki termuda menjuarai Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan lebih 43 tahun lalu.
Aksi di Sunway Megalanes, Bandar Sunway di sini petang tadi menyaksikan Ethan Damien,15, mara ke step ladder selaku pilihan pertama selepas mengungguli saingan final dua sebanyak lapan permainan dengan catatan 1,998 pin.
Pemain skuad remaja kebangsaan itu berkata, dia tidak menyangka mampu menang kejohanan edisi ini yang turut disertai pemain handalan dari Sweden, Australia dan Singapura selain beberapa pemain senior kebangsaan yang juga juara dunia.
“Selepas merekodkan 297 pin pada permainan kelima tadi, saya yakin ada peluang untuk mara ke step ladder kerana kelebihan pin yang besar berbanding lawan namun saya akui tidak akan dapat melakukannya (menang) tanpa sokongan ibu bapa dan jurulatih.
“Saya teruja dan tidak tahu apa yang hendak cakap selepas diberitahu jadi pemain termuda menang Terbuka Malaysia,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi akhir, Ethan Damien tidak berdepan masalah untuk menewaskan juara bertahan, Muhammad Hafiz Zainuddin dengan catatan 220-180 pin.
Muhammad Hafiz mara selepas menyingkirkan pemain Australia, Luke Doyle.
Selaku juara, Ethan Damien membawa hadiah wang tunai RM50,000 manakala Muhammad Hafiz berpuas hati dengan RM25,000.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia tahun lepas itu berkata, kemenangan gelaran antarabangsa pertamanya itu juga menyuntik motivasi untuk merebut tempat dalam beberapa kejohanan besar tahun ini.
“Antara kejohanan yang menjadi sasaran saya ialah Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Remaja Dunia di Sweden, saya harap akan terpilih,” katanya.
Sementara itu Sin Lin Jane memastikan Malaysia menguasai kedua – dua kategori apabila menewaskan pemain Singapura, New Hui Fen dengan keputusan 222-198 pin.
Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2024 itu tidak dapat menahan sebak dan mendedikasikan kemenangan itu kepada mendiang datuknya yang meninggal dunia baru – baru ini.
“Datuk sentiasa berpesan kepada saya supaya melakukan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya yang membawa pulang RM30,000 selaku juara.
Li Jane yang juga Juara Terbuka Malaysia 2016 memberitahu, selepas ini dia akan ke Singapura untuk menyertai Kejohanan Sonic Klasik.
“Selepas itu saya akan terbang pula ke AS dan dijangka akan berada di sana selama lebih sebulan untuk beraksi dalam beberapa kejohanan Jelajah Boling Profesional Wanita,” katanya.
Pada masa sama, pemenang lima pingat emas Sukan SEA itu berkata , dia juga mahu memburu tempat untuk beraksi pada temasya dwi tahunan itu di Thailand hujung tahun ini.
Sementara itu pemain remaja kebangsaan, Adelia Nur Irwan Syazlee menamatkan cabaran di tangga ketiga.
Kejohanan bermula sejak 11 April lepas disertai lebih 400 pemain tempatan dan luar negara termasuk dari AS, Brunei, Colombia, India, Macau, Jepun, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Filipina dan Sweden. – TVS