KUALA LUMPUR, 20 Apr: Presiden Taekwondo Malaysia, Azizul Annuar Adenan mencipta sejarah tersendiri selepas dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk penggal 2025-2029.
Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 MOM yang berlangsung di Kuala Lumpur, Azizul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu memperoleh 81 undi iaitu tertinggi dalam kalangan empat naib presiden yang dilantik.
Pemilihan itu dilihat memperkukuh penyertaan negeri luar Lembah Klang khususnya Sarawak dalam pentadbiran tertinggi badan sukan negara sekali gus membuka peluang kepada pembangunan sukan lebih seimbang di seluruh Malaysia.
Pemilihan tersebut juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan aktif beliau dalam memacu taekwondo Malaysia ke pentas lebih tinggi termasuk dari aspek pengurusan dan pembangunan atlet muda.
Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan Presiden MOM tanpa bertanding dan memperlihatkan keyakinan anggota terhadap kesinambungan kepimpinannya.
Turut diumumkan ialah pemilihan Datuk Nur Azmi Ahmad sebagai timbalan presiden baharu selepas menang bergaya dengan 70 undi menewaskan pencabarnya Datuk Awalan Abdul Aziz.-TVS