PETALING JAYA, 20 April: Anak Limbang yang menetap di Semenanjung Malaysia digalak untuk menyertai Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata persatuan itu kini telah diperkembang dan diperluas mengikut zon utara, selatan dan timur memandangkan jumlah anak Sarawak dari Limbang yang menetap di sini semakin meningkat.
“Anak-anak Limbang yang ada di Semenanjung ini (antaranya) bekerja, berniaga dan memiliki pekerjaan profesional serta berada di institusi pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Ramah Tamah Bedudun Raya PAALS 2025.
Sementara itu, Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, PAALS bersedia untuk membantu anak Limbang yang berdepan kesulitan.
Beliau turut mengingatkan anak Limbang di sini supaya sentiasa menjaga silaturahim dengan masyarakat sekeliling tanpa melupakan dan meminggirkan asal usul.
“Kita tak boleh hidup secara sendiri, mesti hidup bermasyarakat dan itu juga merupakan ajaran agama Islam,” katanya. – TVS.