MIRI, 19 Apr: Sarawak terus mempamerkan komitmennya dalam memajukan sukan di peringkat akar umbi dengan usaha kerajaan negeri menyediakan platform terbaik bagi pengembangan bakat muda dan atlet-atlet berpotensi, kata Dato Sri Lee Kim Shin.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu menyatakan inisiatif seperti penganjuran White Tiger Taekwondo League 2025 Circuit 2 yang berlangsung di Miri hari ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga sebagai langkah penting dalam memperkukuhkan lagi budaya sukan di negeri ini.
“Sungguh menggembirakan untuk melihat peserta dari pelbagai latar belakang berkumpul dengan semangat yang dikongsi bersama, menunjukkan bahawa sukan benar-benar mempunyai kuasa untuk menyatukan semua.
“Pada 9 November 2024, 19 pelajar Miri Kim’s Taekwondo, mewakili Malaysia untuk menyertai Pertandingan Taekwondo Terbuka Antarabangsa Piala Ansan 2024 di Ansan, Korea Selatan. Mereka telah mencipta satu lagi sejarah yang luar biasa dengan mencapai 13 Pingat Emas, 12 Pingat Perak, dan 15 Pingat Gangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Kaunselor Dato Victor Lau di Majlis Perasmian Pembukaan White Tiger Taekwondo League 2025 Circuit 2 di sini, hari ini.
Tambah beliau Kerajaan Sarawak terus komited untuk menyokong pertumbuhan sukan di peringkat akar umbi.
Hal ini kerana katanya, Kerajaan Sarawak percaya dalam memupuk bakat dari usia muda akan mewujudkan peluang untuk para belia berkembang maju, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam sukan dan pembangunan peribadi.
“Seperti yang ramai di antara anda mungkin sudah tahu, Sarawak telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027. Ini adalah peluang yang menarik untuk kita, dan saya menggalakkan semua atlet untuk merebut detik ini.
“Ini adalah peluang keemasan untuk anda mengasah kemahiran anda dan bersedia untuk acara berprestij itu. Saya menyeru setiap daripada anda untuk bekerja keras menunjukkan dedikasi yang tinggi, bukan sahaja untuk mewakili Sarawak tetapi juga untuk membawa kegemilangan kepada Sarawak dan Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan sektor swasta dan pemimpin masyarakat untuk terus bekerjasama dalam membangunkan program sukan yang melibatkan generasi muda. – TVS