JAKARTA, 19 April: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia dari 20 hingga 22 April bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau dijadualkan tiba di Jakarta pada petang esok diiringi oleh Menteri Pertanian dan Industri Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan juga pegawai-pegawai kanan untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari termasuk menemui diaspora Malaysia di sini.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin, lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama oleh penjawat tinggi Malaysia ke Indonesia pada tahun ini, selepas pembentukan kerajaan baharu Indonesia.
“Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Indonesia, serta lawatan tertinggi pertama dari Malaysia selepas terbentuknya pentadbiran baharu Indonesia, sudah tentu ia akan mengukuhkan hubungan antara kedua negara,” katanya.
Zahid juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada rakan sejawatnya, Wakil Presiden Republik Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden pada hari Isnin.
Selain itu, beliau juga akan menyaksikan pertukaran Letter of Intent (LOI) berkaitan kerjasama pendidikan antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Wilayah Jakarta, serta antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Sumatera Barat.
Lawatan ini turut dijangka mempererat kerjasama dalam sektor industri halal, keterjaminan makanan, dan perdagangan antara kedua negara.
Zahid juga akan menerima taklimat mengenai pengurusan bencana dan kerjasama kemanusiaan melalui lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) serta Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).
Lawatan ini membawa mesej penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung Mei 2025, termasuk isu perang tarif dan masa depan serantau di bawah kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Lawatan rasmi akan ditamatkan dengan majlis pelancaran ‘ASEAN Unity Drive’ yang menampilkan kereta konsep Proton e.Mas. – TVS