MIRI, 19 Apr: Beberapa buah syarikat luar menunjukkan minat untuk melabur di Lawas dan pelan induk pembangunan Lawas telah disediakan ke arah tersebut, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Sekarang ini beberapa syarikat dari luar sudah menunjukkan minat untuk melabur di Lawas tetapi kita harus mempunyai infrastruktur dan kita harus bersedia banyak spin-off dan inilah cara kita untuk meningkatkan taraf hidup kita, meningkatkan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Anak Jati Lawas di Miri pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada golongan muda untuk tidak terlibat dengan sebarang gejala sosial.
Katanya, ajaran agama serta nilai-nilai yang baik harus dijadikan amalan.
“Dunia sudah cepat berubah. Geopolitik dan sekarang ini dengan aspek perdagangan, Amerika meningkatkan tarifnya. Macam-macam berlaku. Ini memberi cabaran. Jadi dengan adanya pemikiran kita, dengan segala sumber yang ada kita akan membuat pelarasan tetapi semuanya bergantung kepada anda.
“Kerajaan sahaja tidak dapat dan kita mahu Sarawak ini maju dan kemajuan itu berdasarkan kepada penglibatan masyarakat kita sendiri,” ujarnya lagi. – TVS