KUCHING, 19 Apr: Inovasi pasukan teknologi tempatan dari Sarawak berjaya mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila projek berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong usahawan wanita luar bandar, telah meraih tempat tiga terbaik dalam Amazon Web Services (AWS) Hackathon di sini, baru-baru ini.
Projek berkenaan merupakan hasil usaha pasukan yang terdiri daripada usahawan teknologi termasuk kumpulan DevOps junior daripada syarikat tempatan, SOCOE Sdn. Bhd. (SOCOE), yang membangunkan avatar mentor maya berasaskan Generative Artificial Intelligence (GenAI).
Menurut wakil SOCOE, Avatar AI itu berfungsi sebagai mentor maya yang menyediakan bimbingan perniagaan serta sokongan emosi khusus untuk wanita yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.
“Tidak semua orang mempunyai akses kepada jurulatih atau mentor perniagaan, terutamanya di kawasan luar bandar Sarawak. Tetapi hampir semua orang memiliki telefon. Kami mahu menjadikan telefon itu sebagai alat pemerkasaan.
“Reka bentuk antaramuka AI ini juga difokuskan kepada kemudahan pengguna dengan konsep mesra pengguna – berbentuk kotak sembang dan penjejak kemajuan – tanpa papan pemuka yang kompleks atau butang yang mengelirukan.
“Ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan AI seolah-olah berbual dengan seorang rakan atau penasihat yang dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, SOCOE mendedahkan bahawa projek ini diinspirasikan daripada semangat dan kreativiti wanita Sarawak yang sudah aktif menjalankan pelbagai bentuk perniagaan kecil seperti menjual kraftangan, makanan tempatan dan perniagaan atas talian dari rumah.
Inisiatif ini juga selari dengan nilai teras SOCOE yang mahu membantu rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar, mendapatkan akses yang lebih mudah kepada teknologi dan sokongan perkhidmatan.
Melalui pencapaian cemerlang ini, SOCOE berharap inovasi AI tersebut dapat menjadi jambatan untuk membantu wanita luar bandar beralih daripada perniagaan kecil tidak formal kepada keusahawanan yang lebih tersusun dan mampan. – TVS