KUCHING, 19 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji pencapaian Sarawak yang disifatkan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, hasil kestabilan politik, kepimpinan berwawasan serta pengurusan sumber negeri yang strategik dan berhemah.
Beliau berkata, Sarawak kini bukan sahaja menjadi antara negeri paling pesat membangun, malah turut diiktiraf sebagai hab tenaga serantau dengan potensi besar dalam sektor tenaga, gas serta pembangunan infrastruktur.
“Sarawak kini, di samping itu, sedang menyaksikan terlalu banyak perkembangan besar.
“Ke mana sahaja negara yang saya pergi, baik di Eropah, China, Jepun, mahupun di Asia Tenggara, kita melihat Sarawak mempunyai potensi yang besar sebagai hab tenaga serantau. Sarawak menjadi pusat tumpuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025, di Stadium Perpaduan Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut menghargai inisiatif Sarawak sebagai satu-satunya negeri yang menggunakan dana sendiri secara meluas untuk membina infrastruktur asas seperti jambatan, lebuh raya dan bekalan air, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Persekutuan.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan juga komited mempercepatkan pelaksanaan projek-projek penting di negeri ini, termasuk pembinaan hospital kanser berteknologi tinggi di Kuching menerusi keupayaan kerajaan negeri telah mendahulukan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi mempercepatkan pembinaan.
“Saya hanya ingin berpesan untuk meminta supaya semua projek ini tidak dilengahkan dan mesti dilaksanakan dengan segera kerana rakyat mahukan projek-projek tersebut disegerakan,” jelasnya.
Tambah beliau, kemajuan pesat Sarawak bukan sahaja membawa manfaat kepada rakyat negeri itu, malah berupaya menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara menyeluruh, sejajar dengan aspirasi pembangunan inklusif negara.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri serta pelbagai lapisan masyarakat yang meraikan Hari Raya bersama pemimpin. – TVS