KUCHING, 19 April: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal menganjurkan sesi sumbang saran khusus bagi memperkukuh langkah menangani penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sesi itu bertujuan memperhalusi dasar sedia ada selain meneliti keperluan untuk meminda undang-undang demi melindungi golongan muda daripada kesan negatif penggunaan teknologi secara tidak bertanggungjawab.
“Saya secara peribadi telah memaklumkan kepada pegawai-pegawai berkaitan untuk meneliti sudut perundangan yang masih boleh diperkemas atau dipertingkatkan. Mungkin ada ruang untuk kita melakukan pindaan undang-undang, selaras dengan maklum balas yang telah diterima.
“Kita melihat komen-komen ini sebagai satu bentuk maklum balas yang positif dan membina. Ia membantu kita mengenal pasti aspek-aspek yang boleh diperbaiki. Insya-Allah, kita akan adakan sesi brainstorming dalaman bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik kecekapan kita, sekiranya ada pandangan yang mengatakan kita tidak cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ramah Tamah Mesra Aidilfitri anjuran kementeriannya di Wisma Sabati, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan inisiatif tersebut ke kawasan luar bandar sebagai usaha memperkukuh kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan pelajar sekolah.
“Selain daripada aspek pendidikan dan program keibubapaan, kita mahu memperbanyakkan lagi inisiatif terutama di kawasan luar bandar yang dilihat masih ketinggalan.
“Berbeza dengan bandar yang mempunyai banyak pilihan program, komuniti luar bandar memerlukan lebih banyak sokongan dan intervensi agar ibu bapa dapat dibantu dengan lebih berkesan dalam menangani isu serta memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.
Baru-baru ini negara digemparkan dengan kes seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditahan kerana didakwa menyunting dan menjual gambar lucah menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan aplikasi teknologi AI untuk menyunting gambar mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosial dan dijual pada harga RM2 sekeping.
Kes disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.