KUALA LUMPUR, 19 April: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, akan mengadakan satu sidang media khas pada minggu depan bagi menjelaskan isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata langkah itu diambil bagi memberi penjelasan menyeluruh terhadap isu yang kembali hangat diperkatakan, terutamanya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan tindakan kerajaan.
“Sidang media itu diadakan supaya semua orang faham. NGO yang datang ke sini hari ini, mereka tidak faham isu tersebut.
“Jadi, saya akan terangkan secara terperinci supaya kedua-dua pihak dapat memahaminya dengan jelas.
“Semasa saya mula-mula menjadi wakil rakyat di sini (Titiwangsa), saya sudah menasihatkan penduduk supaya jangan menandatangani perjanjian itu, tetapi mereka tetap melakukannya.
“Saya akan perjelaskan dari awal hingga akhir mengenai isu ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini, hari ini.
Majlis yang diadakan di Kampung Baru itu menyaksikan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.
Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa wujud campur tangan dalam isu pengambilan tanah di kawasan berkenaan, seperti yang dibangkitkan oleh segelintir penduduk, yang mendakwa perkara itu berlaku pada era pemerintahan Perikatan Nasional (PN). – TVS