MIRI, 19 April: Penerbitan koleksi buku ‘Discovering Sarawak Ethnic Crafts’ dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif dan pelancongan budaya di Sarawak, khususnya dalam mengetengahkan keunikan seni kraf etnik tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dokumentasi seumpama ini mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti seni dan kraf, selain menggalakkan lebih banyak penyertaan belia dalam memelihara warisan budaya.
“Koleksi ini bukan sekadar penerbitan, tetapi juga satu bentuk pengiktirafan terhadap kreativiti dan ketahanan komuniti artisan kita. Melalui buku ini, kita bukan sahaja memelihara warisan, malah mewujudkan peluang untuk anak muda mempelajari, mengkomersialkan dan mengangkat seni kraf ke platform yang lebih besar.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dalam majlis pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu Persatuan Cina Sarawak (Sa Hua) dan pra-pelancaran koleksi buku tersebut di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini, malam tadi.
Tambahnya, hasil seni masyarakat etnik perlu diperkasakan sebagai produk budaya berimpak tinggi yang boleh menarik pelancong, pelabur dan pencinta seni dari luar negara.
“Sarawak bukan hanya kaya dengan kepelbagaian budaya, tetapi juga potensi ekonomi melalui warisan ini. Kita harap ‘Discovering Sarawak Ethnic Crafts’ ini dapat menjadi rujukan dan promosi yang berkesan untuk pelancongan budaya,” ujarnya.
Majlis itu turut menampilkan pengiktirafan kepada usaha 20 persatuan etnik termasuk Sa Hua dalam memupuk perpaduan melalui program seperti Taste of Borneo Cultural Carnival yang menurutnya berjaya mengangkat seni makanan, tarian dan kraftangan ke tahap lebih tinggi.
“Ia adalah satu warisan yang terukir dalam dakwat, satu tindakan pemeliharaan yang berkuasa yang menyerlahkan kreativiti luar biasa dan ketahanan jitu para penggiat seni kraf asli kita. Koleksi ini bakal menjadi khazanah berharga untuk generasi masa hadapan,” tambahnya.
Majlis yang berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club itu turut menyaksikan pelantikan Harry Lee Tian Song sebagai Presiden Baharu Sa Hua, dalam menerajui peranan persatuan sebagai jambatan perpaduan pelbagai etnik di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang.-TVS