Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan akan membantu dalam usaha membangunkan dan memulihara Rumah Batu Datu Bandar Abang Haji Muhammad Kassim bin Datu Bandar Abang Haji Bolhassan (DBAK). Foto TVS

Abang Johari jamin pulihara Rumah Batu DBAK, kekalkan seni bina asal

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 19 April: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan akan membantu dalam usaha membangunkan dan memulihara Rumah Batu Datu Bandar Abang Haji Muhammad Kassim bin Datu Bandar Abang Haji Bolhassan (DBAK) selain menyerahkan sepenuhnya keputusan pemeliharaan kediaman itu kepada keluarga waris.

Menurut beliau, sokongan akan diberikan bagi memastikan struktur rumah batu bersejarah itu dipelihara mengikut nilai dan seni bina asalnya.

“Kalau nak membangunkan Rumah Batu, saya serahkan kepada anda. Apa yang saya boleh bantu, saya akan bantu. Dari sudut kejuruteraan, ia menggambarkan teknologi pada masa itu. Dengan adanya nilai tersebut, kita bolehlah membangunkan strukturnya,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya anjuran Jawatankuasa Pengurusan Wakil Waris 8 di Hikmah Exchange di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut Abang Johari turut menekankan bahawa perkara melibatkan pengurusan waris perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum proses pembangunan dapat diteruskan.

“Apa yang penting, selesaikan dahulu perkara berkaitan Waris 8. Saya akan cuba bantu untuk membangunkan atau membaik pulih Rumah Batu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Sarawak kini mempunyai undang-undang Warisan (Heritage Ordinance) yang mengawal selia pembangunan dan pemuliharaan bangunan bersejarah.

“Undang-undang heritage ada beberapa prosesnya. Apabila bangunan itu dilindungi, hendaklah dilakukan kerja-kerja pemuliharaan dengan baik, ada yang boleh ditukar, ada yang tak boleh ditukar untuk memastikan keasliannya. Dengan adanya undang-undang ini, ia akan terlindung,” jelas beliau.

Dalam pada itu Abang Johari turut menzahirkan sokongan terhadap usaha Jawatankuasa Pengurusan Wakil Waris 8 (JKWW8) untuk mencapai persepakatan dalam kalangan waris.

“Ada tanda sepakat, kita ada satu haluan dan tujuan. Bagi saya, saya akan bantu,” katanya lagi.

Untuk rekod Rumah Batu juga pernah menjadi tempat persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak difahamkan dibina oleh DBAK pada tahun 1863.

Terdahulu, JKWW8 berharap untuk mendapatkan kelulusan Kerajaan Sarawak bagi mengiktiraf Rumah Batu sebagai sebuah “Rumah Warisan” (Heritage House).

Namun begitu, beberapa isu berkaitan wakaf perlu diselesaikan dengan Majlis Islam Sarawak sebelum pengiktirafan tersebut dapat dimuktamadkan. JKWW8 juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Yayasan Wakaf Sarawak dalam pengurusan dan pemeliharaan wakaf berkenaan.

Selain itu, JKWW8 yang dipengerusikan oleh Abang Iskandar Abang Muas turut merancang untuk membangunkan “Kompleks Datu Bandar Kassim” di lot bersebelahan Rumah Batu sebagai pusat komersial untuk manfaat waris dan pusat ilmu untuk kegunaan umum, yang diharap dapat membawa ganjaran pahala berterusan kepada para waris dan pengunjung.

JKWW8 merupakan jawatankuasa yang dilantik untuk mewakili waris lapan keluarga Datu Bandar Abang Haji Muhammad Kassim bin Datu Bandar Abang Haji Bolhassan dalam menguruskan hal ehwal berkaitan wakaf Rumah Batu tersebut.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan