MIRI, 18 April: Ketidaktentuan hubungan perdagangan global susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat ke atas barangan dari Malaysia telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat industri tempatan, termasuk di Miri.
Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri, Mohammad Hafidz Rohani berkata, meskipun kesan langsung belum dirasai sepenuhnya, namun implikasi jangka panjang terhadap eksport ke Amerika Syarikat perlu diberi perhatian.
“Tarif yang dikenakan oleh United States… saya fikir ada satu tekanan ataupun mungkin satu kerongganan yang diberikan oleh pihak US untuk syarikat-syarikat Malaysia, sekurang-kurangnya untuk ada buffer untuk kita mengeksport ke United States,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUBS di kediamannya di Jalan Sealine 1, Lutong, di sini, hari ini.
Menurutnya, syarikat-syarikat termasuk dari industri kecil seperti makanan di Miri yang kini sudah pun mengeksport produk ke pasaran luar seperti Amerika, masih berhati-hati dengan perkembangan ini.
“Kita belum nampak impak besar, namun sebagai syarikat kita masih berhati-hati kerana kita tahu kesan-kesan ini tidak nampak dalam masa yang singkat. Mungkin kita akan nampak pada masa 3 atau 4 bulan kemudian.
“Beliau memilih untuk datang ke Malaysia dan Malaysia adalah negara pertama yang dilawati… saya kira ini mengembalikan keyakinan China kepada produk-produk Malaysia. Eksport minyak sawit, oil and gas akan terus dipertingkatkan dan ini akan mengurangkan kebergantungan kita kepada sesetengah negara,” tambahnya.
Hafidz turut menyatakan keyakinan terhadap pendekatan kerajaan Malaysia yang dilihat bijak dan berkecuali dalam menangani ketegangan perang dagang antara dua kuasa besar dunia.
“Saya yakin Malaysia di bawah kerajaan Madani ini begitu bertoleransi dan tidak terlalu nampak bergantung kepada mana-mana negara,” ujarnya.
Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini merupakan kunjungan pertama beliau selepas sedekad, dan Malaysia menjadi negara pertama dalam lawatan rasmi beliau ke rantau ASEAN tahun ini.
Lawatan ini dilihat memperkukuh hubungan dagangan dan diplomatik dua hala antara Kuala Lumpur dan Beijing, serta memberi harapan baharu terhadap pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas antara kedua-dua negara. -TVS