PARIS, 18 Apr: Harry Maguire menanduk gol kemenangan ketika Manchester United menghasilkan satu lagi kebangkitan luar biasa pada Khamis untuk menewaskan Lyon dan menempah pertemuan separuh akhir Liga Europa menentang Athletic Bilbao sementara Tottenham Hotspur juga melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Eintracht Frankfurt.
Tandukan Maguire dalam minit tambahan memberikan United kemenangan 5-4 di Old Trafford pada Khamis untuk kemenanngan agregat 7-6.
Mereka kelihatan mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila mendahului 2-0 pada perlawanan suku akhir kedua untuk kelebihan 4-2 secara agregat apabila Manuel Ugarte menyempurnakan hantaran Alejandro Garnacho seawal minit ke-10 sebelum Diogo Dalot menambah jaringan pada minit akhir sebelum rehat.
Bruno Fernandes tidak bernasib baik menambah jaringan di antara dua gol itu apabila rembatannya terkena palang dengan United mempunyai peluang menamatkan singan sebelum Corentin Tolisso merapatkan kedudukan buat Lyon pada minit ke-71.
Nicolas Tagliafico kemudian mengikat kedudukan 2-2 dan 4-4 secara agregat dengan baki 12 minit permainan.
Lyon bagaimanapun kehilangan Tolisso yang dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua perlawanan sebelum tamat 90 minit permainan tetapi mereka mendahului 3-2 apabila Rayan Cherki menyempurnakan hantaran Malick Fofana pada minit ke-105.
Dan Lyon membayangkan kemaraan ke separuh akhir apabila Alexandre Lacazette menyempurnakan penalti untuk meletakkan Lyon 4-2 di hadapan dan 6-4 secara agregat, lima minit dalam separuh masa kedua masa tambahan ekoran kekasaran Luke Shaw ke atas Fofana.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, United memperolehi tendangan penalti apabila satu kekasaran dikesan panel video bantuan pengadil (VAR) ke atas Casemiro dan Fernandes tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakannya.
Kobbie Mainoo mengikat kedudukan 4-4 pada minit ke-120 dan ketika kedua-dua pasukan membayangkan penentuan sepakan penalti, Maguire menanduk hantaran lintang Casemiro untuk gol kemenangan.
“Ia adalah malam yang hebat,” kata pengurus United, Ruben Amorim.
“Di sini, segala-galanya satu kemungkinan, anda boleh merasai persekitarannya. Pada kedudukan 4-3, selepas penalti Bruno Fernandes, kami merasakan kami boleh mengubah permainan.”
United akan menentang Athletic Bilbao di separuh akhir, dengan perlawanan pertama berlangsung di Bilbao untuk perlawanan separuh akhir yang pertama mereka di Eropah selepas tewas di final 2021 kepada Villarreal.
Athletic menewaskan Glasgow Rangers 2-0 untuk melangkah ke separuh akhir selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Glasgow.
Athletic membuka jaringan pada minit akhir sebelum rehat apabila Oihan Sancet menyempurnakan penalti selepas Maroan Sannadi dikasari oleh John Souttar dalam kotak penalti.
Nico Williams melengkapkan jaringan pada minit ke-80.
Athletic berazam untuk melangkah ke final yang akan berlangsung di stadium mereka sendiri di San Mames pada 21 Mei.-TVS