SIBU, 18 Apr: Sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan bakal menerima perhatian khusus daripada wakil rakyatnya, Datuk Micheal Tiang Ming Tee menerusi beberapa inisiatif penambahbaikan termasuk cadangan mewujudkan bilik darjah pintar.
Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek perintis akan dimulakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lai dengan anggaran peruntukan sebanyak RM300,000.
“Saya akan mengemukakan permohonan kepada pihak yang berkaitan untuk memperjuangkan penubuhan bilik darjah pintar bagi seluruh sekolah ini yang merangkumi 28 bilik darjah.
“Kalau kita nak laksanakan, biarlah dilaksanakan untuk keseluruhan sekolah. Saya tidak berjanji, tetapi saya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikannya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan hari ini.
Beliau menjelaskan konsep bilik darjah pintar yang dilengkapi skrin interaktif dan sistem audio moden mampu merangsang minat murid terhadap pembelajaran.
“Kanak-kanak zaman sekarang terdedah kepada internet dan kandungan interaktif sejak kecil. Jadi, sudah tiba masanya kita laksanakan bilik darjah pintar di kawasan ini,” ujarnya.
Menurutnya, beberapa sekolah di Kuching sudah melaksanakan konsep tersebut dan beliau berharap pembangunan serupa dapat direalisasikan di Pelawan.
Dalam lawatan sama, Tiang turut meninjau masalah bumbung gelanggang bola keranjang sekolah yang turut digunakan sebagai kawasan perhimpunan.
Beliau mencadangkan pembinaan struktur berlouver bagi mengurangkan kemasukan air hujan ke kawasan tersebut.
“Walaupun ia mungkin tidak dapat menghalang air hujan sepenuhnya, namun ia tetap membantu. Jika penyelesaian ini sesuai, saya akan cuba dapatkan sokongan untuk melaksanakannya,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi kerja menutup longkang di hadapan sekolah sekali gus menambah ruang parkir ketika waktu mengambil pelajar.
Tambahan RM100,000 pula disalurkan untuk menaik taraf tandas sekolah.-TVS