KUCHING, 17 Apr: Bagi menyelaras program pembangunan belia di wilayah ini, Pusat Pengurusan Sarawak Youth Start-up (SYStartUP) akan beroperasi menjelang Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, pusat yang terletak di kawasan Satok tersebut diwujudkan sebagai pusat sehenti untuk 275 usahawan SYStartUP di seluruh wilayah ini.
Menurutnya, pelbagai kemudahan akan disediakan di pusat tersebut termasuk pemasaran digital, reka bentuk, penjenamaan dan pembungkusan serta khidmat berkaitan pensijilan halal, fakta pemakanan, pelabelan, pensijilan MESTI dan lain-lain keperluan produk.
“Ramai dalam kalangan usahawan kita mempunyai produk yang berkualiti dan berpotensi besar tetapi masih memerlukan sokongan dari segi penjenamaan, pembungkusan dan pensijilan untuk menembusi pasaran yang lebih luas. Pusat ini akan menjadi pemangkin kepada usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah-Tamah Sarawak Youth Startup Cohort 1 bersama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak di Kuching pada Jumaat.
Setakat ini, seramai 156 daripada 275 peserta program memberi maklum balas dengan 60 peratus daripadanya sudah memulakan perniagaan manakala 30 peratus masih dalam perancangan.
Ripin menjelaskan, kementeriannya sedang mengemaskini data prestasi usahawan tersebut selain giat menganjurkan program meet and greet di seluruh Sarawak bagi mendengar sendiri cabaran yang dihadapi usahawan serta berkongsi perkembangan program yang sedang dilaksanakan.-TVS