KUALA LUMPUR, 18 April: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap menerusi satu hantaran di Facebook serta dalam akhbar digital sebuah akhbar tempatan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata hasil siasatan tersebut akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Bagi pihak MCMC, saya difahamkan siasatan kedua-duanya telah selesai.
“Kertas siasatan difahamkan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertimbangan dan nasihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut menjelaskan bahawa siasatan terhadap penerbitan dalam bentuk cetakan masih dijalankan oleh dua agensi lain, iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, KDN menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, manakala siasatan oleh PDRM merangkumi beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan dan Mempamer Lambang Kebangsaan.
Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa setakat ini tiada perkembangan lanjut mengenai status siasatan oleh kedua-dua agensi tersebut. – TVS