KUCHING, 18 Apr: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan masalah kesihatan seperti diabetes, obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain dalam kalangan masyarakat seiring dengan pertumbuhan pesat ekonomi rantau ASEAN.
Beliau yang juga Menteri Kesihiatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah, gaya hidup moden dan pemakanan tinggi gula dan karbohidrat menjadi punca utama permasalahan tersebut.
Negara-negara ASEAN juga kebanyakannya masih belum mampu mengagihkan peruntukan besar untuk sektor kesihatan kerana tumpuan masih diberi kepada sektor utama lain seperti infrastruktur dan pendidikan.
“Kebanyakan negara, seperti Amerika Syarikat, mereka membelanjakan 15 peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan. Banyak negara di rantau ASEAN semakin kaya, gaya hidup juga semakin baik.
“Tetapi kita masih tidak mempunyai dana untuk dibelanjakan dalam sektor penjagaan kesihatan. Ini kerana terdapat banyak perkara lain yang perlu diberi fokus dan dilakukan termasuk infrastruktur, pendidikan dan sebagainya.
“Justeru, pada saya, kita perlu belajar daripada kesilapan negara-negara Barat, di mana mereka menikmati kemakmuran ekonomi, namun kini mereka dibebani masalah kesihatan.
“Di Malaysia, Menteri Kesihatan berturut-turut menyokong kertas putih, di mana sasaran adalah lima peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan. Justeru, di Malaysia pada masa ini, kita hanya membelanjakan lima peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke bangunan baharu Lembaga Pendudukn Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selepas menghadiri majlis Semurni Kasih Keluarga LPPKN di Jalan Sultan Tengah, Kuching hari ini.
Beliau pada masa sama memuji usaha LPPKN dalam menyediakan perkhidmatan seperti perancangan keluarga dan rawatan kesuburan, serta menekankan kepentingan menyelaras semua inisiatif berkenaan dalam perancangan kesihatan negara menjelang 2050. -TVS