Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di bangunan baharu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kuching hari ini. Foto Fiqri Razak (TVS)

Gaji rendah, punca pakar perubatan enggan berkhidmat di tanah air

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 18 Apr: Tawaran gaji lebih tinggi selain peluang pengkhususan yang lebih baik merupakan antara faktor ramai graduan perubatan tempatan memilih untuk bekerja di luar negara.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian tidak menafikan perkara tersebut dan ia sekali gus menyumbang kepada krisis kekurangan doktor di negara ini, khususnya di Sarawak.

Jelasnya, Sarawak kini memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 doktor mengikut piawaian kebangsaan, namun hanya mempunyai kurang daripada 4,000 orang.

“Lebih 4,000 daripada jumlah itu datang dari Semenanjung Malaysia. Itulah sebabnya saya selalu mengingatkan doktor untuk bersikap baik kepada mereka.

“Kalau semua doktor dari Semenanjung balik, kita di Sarawak akan terpaksa tengok saja. Tiada persoalan mengenai UNIMAS hanya melahirkan 150 doktor setahun. Kalau kita kekurangan 2,000 doktor, ambil masa lebih 10 tahun untuk tampung jurang itu,” jelasnya.

Bercakap kepada media ketika ditemui selepas melawat bangunan baharu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Jalan Sultan Tengah, Kuching hari ini, Dr Sim menambah universiti terkemuka seperti Monash University Malaysia dan University of Newcastle di Johor Bahru, masing-masing melahirkan kira-kira 150 graduan perubatan setiap tahun, namun majoriti memilih untuk bekerja di Australia dan United Kingdom.

Beliau turut menyentuh inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan Sekolah Perubatan Fudan iaitu antara tiga sekolah terbaik di China dan diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia sebagai usaha untuk meningkatkan bilangan doktor di negeri ini.

“Jika anda membayar mereka RM30,000 sebulan dan bukannya RM3,000, mungkin kita mempunyai peluang yang lebih baik. Tetapi RM30,000 tidak ada apa-apanya berbanding dengan Australia. Kami (Kerajaan Sarawak) meminta Kementerian Kesihatan untuk membenarkan kami mendelegasikan autonomi kesihatan kepada kami supaya kami dapat menggaji doktor kami sendiri.

“Jika tidak, pegawai Kementerian Kesihatan akan menguruskan (pengambilan doktor) Sarawak, tetapi apabila mereka mendapat pekerjaan, mereka menolak dan mahu tinggal di Kuala Lumpur, tidak mahu ke Sarawak,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru rakyat Sarawak yang berada di luar negara supaya pulang menabur khidmat, sama ada secara sepenuh masa atau sambilan, demi membantu rakyat dan memperkukuh sistem kesihatan negeri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan