KUALA LUMPUR, 18 April: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meminta Altel Digital Integrated Sdn. Bhd (ADISB) menyediakan beberapa bukti konsep pelaksanaan teknologi satelit sebagai menara telekomunikasi dalam usaha memperluas ketersambungan komunikasi di negara ini.
Menurut Fahmi, bukti konsep itu disifatkan penting bagi membolehkan kementeriannya merealisasikan dasar “di mana ada jalan, di situ ada internet” yang diperkenalkan dua tahun lalu.
Katanya, permintaan itu susulan hasil tinjauan pihaknya ke beberapa persidangan komunikasi global pada tahun lalu yang memperlihatkan kebolehlaksanaan teknologi berkenaan.
“Di mana ada jalan raya, mereka (masyarakat) akan mempunyai ketersambungan kepada internet. Ia tidak terhalang dan tidak semestinya terhad.
“Ini amat membantu, kerana pada masa ini apabila anda melihat cara syarikat telekomunikasi melihat liputan kawasan berpenduduk, malah istilah ke hadapan adalah bermasalah, kerana ketersambungan bukan sahaja harus terhad kepada kawasan berpenduduk, kerana populasi tersebut berpindah-randah.
“Jadi kita ada situasi di mana kawasan luar bandar mempunyai ketersambungan internet, tetapi jalan-jalan yang menghubungkan kawasan-kawasan itu adalah titik buta yang panjang.
“Saya berharap kerja yang dilakukan oleh ADISB dan rakan kerjasama mereka dapat membantu kami melengkapkan pelbagai penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Altel Digital Integrated Sdn. Bhd. di sebuah hotel di sini, hari ini.
ALTEL dan Zhejiang Geespace Technology Co., Ltd. (Geespace) melancarkan Altel Digital Integrated Sdn. Bhd. (ALTEL Digital), iaitu satu usaha sama strategik antara kedua-dua entiti.
ALTEL Digital memberi tumpuan kepada perkhidmatan Satelit dan Telekomunikasi, dengan memanfaatkan rangkaian komunikasi satelit orbit bumi rendah (LEO) global yang dikenali sebagai GEESAT.COM untuk membangunkan sistem perkhidmatan dan aplikasi komunikasi bersepadu.
Sistem itu menggabungkan rangkaian satelit LEO dan rangkaian terestrial bagi menyediakan ketersambungan yang lancar di seluruh negara dan Asia Tenggara. – TVS