WASHINGTON, 18 April: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam satu insiden tembakan pada Khamis di kampus Florida State University di bandar Tallahassee, lapor Anadolu Ajansi.
“Dua terkorban. Lima lagi mangsa yang tidak berdosa sedang menerima rawatan akibat kecederaan,” kata presidennya Richard McCullough sambil menyifatkan kejadian itu sebagai “hari yang amat menyedihkan” buat universiti.
Sementara itu, Sheriff Daerah Leon, Walt McNeil memaklumkan bahawa suspek adalah anak lelaki kepada seorang timbalan sheriff yang telah berkhidmat selama 18 tahun.
Suspek dikenalpasti sebagai Phoenix Ikner, 20 tahun, yang menggunakan senjata milik ibunya dalam serangan itu.
Pihak berkuasa belum mendedahkan maklumat lanjut berhubung identiti mangsa.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut diberi taklimat mengenai kejadian itu.
“Ini satu tragedi. Ia sesuatu yang amat mengerikan… Kami akan memberikan kenyataan lanjut mengenainya kemudian,” katanya kepada wartawan.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut mengesahkan pihaknya sedang bertindak balas dan membantu pihak penguatkuasa undang-undang tempatan.
Pihak universiti mengumumkan bahawa semua kelas dan acara rasmi yang dijadualkan pada Khamis dibatalkan.-TVS