Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. Foto fail Bernama

China sedia kongsi teknologi proses nadir bumi – Mohamad Hasan

ByBernama

TAPAH, 18 April: China sedia berkongsi teknologi pemprosesan nadir bumi dengan Malaysia, yang akan menjana lebih nilai berbanding mengeksport secara mentah.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pemprosesan nadir bumi bukan sahaja meningkatkan pendapatan negara, malah dapat dimanfaatkan oleh kerajaan negeri kerana hasil galian itu adalah hak negeri.

“Presiden Xi Jinping sendiri dalam mesyuarat semalam antara Malaysia dengan China, mereka sanggup kongsi teknologi itu.

“Nadir bumi ini satu kurniaan Allah SWT kepada Malaysia. Kalau kita jual secara mentah dan tidak diproses harganya tidak beberapa baik, tetapi kalau sudah diproses hasilnya berlipat kali ganda sehingga 10 hingga 15 kali ganda,” katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang meninjau gerak kerja jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Tiga di sini pada Khamis.

Pada lawatan negara selama tiga hari itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Xi telah menyaksikan pertukaran 31 memorandum persefahaman (MoU) dan dokumen yang meliputi pelbagai sektor kerjasama antara kedua-dua negara.

Lawatan Presiden Xi ke Malaysia adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ini adalah lawatan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara dipertingkatkan pada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Dalam pada itu, Mohamad berkata China komited mempercepatkan proses Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN FTA) bagi memperkukuh perdagangan intra-ASEAN yang kini hanya mencatat kurang 25 peratus.

“Kita nak supaya kita berdagang sesama sendiri… Kita (Malaysia) akan menjadi pemudah kepada China, sebab negara China boleh memberikan teknologi dan pasaran. Ini akan melonjakkan hasrat negara-negara ASEAN untuk meningkatkan peratusan dagangan sesama sendiri,” katanya.

Mohamad berkata Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang dijadual berlangsung di Malaysia pada 27 Mei ini dijangka merangka pelan strategik bagi menghubungkan tiga blok ekonomi utama dalam usaha membentuk rantaian perdagangan serantau yang kukuh. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan