Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, merangkap Setiausaha Politik kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Hamzah Brahim pada temubual eksklusif bersama TVS berkenaan sambutan Aidilfitri Madani 2025, di pejabat Sarawak Media Group, di sini, pada Jumaat. Foto Nasrullah(TVS)

Aidilfitri Madani 2025 himpun pemimpin, rakyat di Stadium Perpaduan Petra Jaya

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 18 April: Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Sarawak yang bakal berlangsung esok di Stadium Perpaduan Petra Jaya akan menghimpunkan pimpinan tertinggi negara dan negeri bersama rakyat pelbagai kaum dalam satu majlis yang penuh makna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, merangkap Setiausaha Politik kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Hamzah Brahim berkata, program yang julung kali diadakan di Sarawak ini turut menyasarkan kehadiran lebih ramai rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin rumah ibadat, komuniti setempat dan individu-individu dari pelbagai etnik serta agama.

“Majlis pada esok hari, julung-julung kali pemimpin nombor satu di peringkat pusat ialah YAB Perdana Menteri. Dan pemimpin kita di peringkat negeri, YAB Premier Sarawak, bersama-sama datang ke lokasi program esok hari.

“Sambutan ini juga akan dihadiri pucuk pimpinan daripada peringkat pusat dan kakitangan di peringkat pentadbiran pusat selain pucuk pimpinan di peringkat negeri dan penjawat-penjawat awam serta kakitangan di peringkat negeri.

“Dan pada esok juga, kita juga menjemput rakyat dari pelbagai kategori di kawasan Kuching, Semarahan, Serian dan Lundu termasuk Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), dan pihak rumah ibadat yang kita jemput secara khas,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama TVS berkenaan sambutan Aidilfitri Madani 2025, di pejabat Sarawak Media Group, di sini, pada Jumaat.

Menurut Hamzah, Sarawak telah lama menjadi contoh negara dalam aspek perpaduan kaum, dan penganjuran sambutan seumpama ini menjadi bukti nyata keutuhan hubungan antara rakyat berbilang bangsa di negeri ini.

“Jangan terkejut nanti bukan sahaja orang Melayu, tapi masyarakat Iban, Bidayuh, Cina dan sebagainya, akan memakai baju raya semasa program itu nanti. Itu bezanya kita di Sarawak dengan negeri-negeri lain,” ujarnya lanjut.

Jelas Hamzah lagi, tetamu yang hadir ke majlis pada esok hari turut akan dijamu dengan juadah istimewa Sarawak termasuk mi kolok, laksa Sarawak, nasi ‘pengilan’ dan lain-lain yang menjadi simbol kepelbagaian budaya tempatan.

Selain itu, katanya, majlis juga akan diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian artis tempatan antaranya penyanyi veteran Sarawak, Safar Ghafar dan penyanyi Iban terbilang, Ricky Andrewson Ngalai.

Beliau berharap sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Sarawak dibawah kendalian PETRA ini akan berjalan lancar dan menyampaikan mesej positif tentang perayaan yang bukan sahaja dianggap sebagai satu perayaan tetapi platform untuk menyatukan pemimpin dan rakyat.

“Kami mengalu-alukan kehadiran semua yang berkelapangan dan berada berdekatan tempat majlis pada esok hari. Sekiranya ada kekurangan, pihak kami memohon maaf lebih awal.” katanya.

Sarawak diberi penghormatan sebagai salah satu daripada lapan lokasi penganjuran seluruh negara bagi Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 yang julung kali diadakan tahun ini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan