MIRI, 18 April: Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari mengadakan lawatan kerja ke Kawasan Operasi Sempadan Sarawak-Kalimantan di Pos Pa’Dalih, Pos Gabungan Malaysia-Indonesia Kem JPG Ba’Kelalan dan Pos Bario bagi menyantuni warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di perbatasan.
Semasa lawatan, beliau turut diberi taklimat operasi termasuk status instalasi markas dan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang berlangsung di kawasan operasi.
Adly diberikan pendedahan dan gambaran yang jelas berkenaan keadaan perjalanan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia dalam Operasi JAGAKAWAN, selain melihat keadaan kehidupan seharian mereka yang bertugas.
Lawatan itu adalah anatar lain salah satu aktiviti di bawah Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara, iaitu Cegah Rintang Berpadu, seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2020 2030 (KPP).
Strategi ini bertujuan untuk melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah dengan menghindar daripada sebarang bentuk pencerobohan dan konflik.
Pertahanan negara dilaksanakan sepanjang kawasan lapisan berpadu meliputi domain darat, maritim, udara dan siber elektromagnetik.
Dalam lawatan tersebut, Adly Zahari turut menghadiri majlis ramah mesra bersama dengan agensi keselamatan setempat dan penduduk kampung berdekatan di sekitar Daerah Bario, di samping menyantuni dua keluarga Veteran ATM menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) di Daerah Baram.
Beliau juga menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada balu veteran ATM, memberi bantuan makanan ikan kepada seorang usahawan veteran ATM yang mengusahakan projek menternak ikan air tawar, dan sumbangan keperluan harian kepada kedua-dua mereka.
Program PVM Bario dilaksanakan bagi menyantuni veteran ATM walau di mana. golongan ini berada dalam usaha memastikan bantuan yang disalurkan adalah menepati keperluan selain menjadikan platform ini sebagai medium untuk menyampaikan dasar, maklumat terkini dan bantuan semasa kepada veteran ATM. -TVS